cerita di kampung Banjar – 6

 

Aku sudah menyaksikan bagaimana pakcik Osman melancarkan ‘peluru berpandu’ tepat ke sasaran sehingga mangsa berpindah dari kediaman sementara ke dunia kekal. Aku juga sudah melihat sendiri bagaimana sehelai daun yang dimasukkan ke dalam saku baju bertukar kepada duit kertas sepuluh ringgit. Ramai penonton di tepi padang petang itu juga sudah tahu bagaimana kehebatan pakcik Osman mengawal bola dari belakang tiang gol sehingga gawang pasukan ‘underdog’ kampung kami tidak boleh dibolosi. Dan aku pun sudah lali melihat sessi mengubat yang menggunakan pisau belati dan limau nipis.

 

Malah, aku juga sering melihat dia memasukkan susuk – emas atau berlian – kebahagian tertentu di muka mereka yang berhajat, termasuklah pantang larang yang mesti dipatuhi.

 

Kebolehan makhluk ghaib menyelinap masuk ke dalam jasad tuan kadi hanya ku dengar dari keluarga yang pergi ke pejabat pagi itu.

 

Sudah lebih setahun Diang, saudara tua berusia 17 tahun berulang alik ke pejabat kadi meminta fasah dari suaminya. Namun, seperti juga keadaan mahkamah syariah hari ini, kes semudah itu sering tertangguh. Bukan sahaja keadaan gantung tak bertali yang membimbangkan, tapi ekonomi juga turut terjejas. Betapa tidak, setiap kali hadir ke pejabat kadi, pokok getah tidak bertoreh.

 

Pagi itu, pakcik Osman menawarkan diri untuk turut sama. Kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan. Begitu gembira mereka kerana manalah tahu dengan kehadirannya, sikap tuan kadi boleh berubah.

 

Tanpa di duga, bukan sahaja sikap kadi berubah, malah raut wajahnya dihari itu sungguh berbeza dari hari biasa. Wajah kelihatan serius dengan mata kuyu persis raut muka pakcik Osman ketika menurun. Dengan suara garau dan dalam, seolah-olah keluar dari halkum, dia memberi keputusan yang menggembirakan.   

 

Namun, kegembiraan keluarga tidak kekal lama.

 

Walaupun sebelah punggung pakcik Osman sudah ‘beyond repair’ sehingga gulungan kapas sebesar bantal peluk bayi yang diguna untuk menampal kudis (nanah) hanya tahan dua hari, tapi itu tidak menghalang dia memasang angan-angan untuk beristeri. Keluarga perasan dengan perubahan pakcik Osman, dan Diang yang sudah bergelar janda.

 

Tengah hari itu, salah seorang ahli keluarga kami menasihati pakcik Osman. Sangkaan dia akan akur rupanya meleset. Kami tidak menyangka kiranya kemenyan yang dibakar, pisau belati, limau nipis dan pinggan putih yang dihadapnya  membawa erti besar.

 

Setiap hari Sabtu, puan Rogayah Sulung datang ke kampung memberi bimbingan cara mengaji yang membolehkan dia dinobatkan johan Qariah peringkat kebangsaan tahun 1961. Seperti biasa, petang itu Diang menunggang basikal hampir dua batu ke rumah imam, tempat puan Rogayah mengajar. Selang tidak berapa lama, pakcik Osman juga keluar. Tidak seorang pun perasan sama ada dia naik bas atau teksi prebet sapu.

 

Lazimnya, Jam 5 petang atau lebih sedikit, sessi mengaji berakhir dan Diang akan sampai ke rumah sebelum pukul enam. Hari sudah hampir senja, tapi bayangnya masih tidak kelihatan. Kerana bimbang sesuatu yang tidak diduga berlaku, aku dan sepupu lelaki pergi menjejak ke rumah imam. Terperanjat apabila diberitahu bahawa Diang tidak menyertai kelas mengaji petang itu.

 

Setelah putus ikhtiar, kami pergi ke rumah pakcik Samlan yang terletak kira-kira suku batu dari situ. Lama dia termenung. Akhirnya dia berjanji akan datang ke rumah esok pagi.

 

About these ads
This entry was posted in banjar dlm melayu, BANJAR KAMPUNG. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s