25 Mei 2012: Dengan laptop terselit antara celah peha dan dada (posisi kegemaran bila mengadap komputer) aku mengetuk papan kekunci merakam imbauan tarikh keramat…
25 Mei…: Ulangtahun kelahiran ke 32 menantu perempuan “Happy birthday my D.I.L. @ Aqeen, and happy 4th wedding anniversary. Quote “Count your life by smiles, not tears, count your age by friends, not years…”
25 Mei 2008: Menyambut menantu (kenduri).
25 Mei 2009: Setelah di ‘desak’ berulang-kali oleh anak yang menyediakan sebuah blog untuk bapanya ‘merapu’, dan untuknya menyingkap liku-liku kehidupan anggota RMN Woodlands, maka bermulalah posting pertama siri ‘Menyusur Denai Ingatan’ atau MDI yang masih belum kelihatan di mana noktahnya.
Berkat tunjuk ajar anak-anak, dan keinginan si bapa untuk belajar sesuatu yang baru, UPBB yang pada mulanya hanyalah sebuah blog yang ‘anonymous’, kini Utuhpaloi.com boleh dilayari dengan hanya menaip di Google perkataan seperti KD Malaya, KD Rahmat, KD XYZ, Cdr Hydesmith, Wahid Anang…dan puluhan/ratusan lagi terma rujukan search engines (Terima kasih ‘master hacker’ yang menyambut ulangtahun ke empat perkahwinan hari ini atas tips dan tunjuk ajar cara mem-blog. Quote “Count the years of wedded bliss by the frequency of soothing ‘music’ from the tears and laughter of your children, and not by how many centimeters more that can be added to your waistline…”)
25 Mei 1978: Setelah 13 tahun bergelar anggota TLDM, aku memulangkan ‘rantai kaki’ ke MINDEF.
25 Mei 1965: Aaahh, masih jelas terbayang hari itu…rentetan peristiwa yang membuatkan aku berada di situ – Main Galley KD Malaya Woodlands – mendengar ceramah ringkas dari POSM RP Wong yang aku (kami) mula kenali sehari sebelumnya.
Ye, pagi sebelumnya – 24 Mei 1965.
Aneh, betapa pun aku cuba melupakan imej dan perasaanku pagi itu, namun ianya tak pernah pudar.
Hingga hari ini masih jelas terpahat dalam ingatan bagaimana perasaan seorang remaja desa yang terpinga-pinga ‘macam rusa masuk kampung’ turun dari trak 3 tan, berdiri di hadapan blok ‘B’ KD Malaya Woodlands menarik nafas lega sambil memerhati keadaan keliling, menikmati kebebasan seperti seorang banduan yang baru melarikan diri dari penjara.
Melarikan diri dari penjara!!!
Walaupun keputusan peperiksaan Senior Cambridge sudah lebih dua bulan berlalu, namun aku masih enggan bekerja sebagai orang pejabat di tempat kelahiran. Aku lebih suka membanting tulang empat kerat dari duduk dalam pejabat memegang pen dan kertas atau menconteng kapur di papan hitam dalam usaha menurunkan ilmu kepada murid-murid di bilik darjah.
Masa mengambil slip keputusan peperiksaan, dan masuk ke bilik Mr Thor Seng Aun, guru besar Secondary English School Kluang untuk meminta tandatangan testimonial, beliau meminta aku menyumbang bakti sebagai pendidik di sekolah tempat aku mula-mula belajar bertutur dan menulis dalam Bahasa Inggeris 6 tahun sebelum itu (dari Remove Class). Tapi aku menolak.
Ye, aku menolak. Pelik kan? Sedang orang lain berlumba-lumba untuk jadi guru, malah tidak kurang yang sanggup menggunakan pintu belakang, tapi aku…enggan menyambut si bulat yang datang bergolek, si pipih yang datang melayang. Tapi itulah hakikatnya – aku tak berminat samada untuk bekerja sebagai pendidik atau duduk di pejabat sebagai kerani.
Selang beberapa hari selepas itu, Ami Salleh kawan karib arwah bapaku yang sama-sama berhijrah dari Yemen – sebelum Jepun menakluki Malaya - datang ke rumah meminta aku hadir pada esok hari untuk mengisi kekosongan kerani di pejabat Local Council Air Hitam di mana dia adalah salah seorang dari councilor. Tawaran itu juga ku tolak.
Habis tu apa yang ku buat selam ini? Makan tidur !!!
Sejak berusia 5 tahun, sampailah hari terakhir berada di kampung, hidupku sudah sebati dengan kerja menoreh, menebas, menebang pokok, mencangkul, menajak, meredah hutan dan apa saja kerja yang memerlukan kudrat tulang empat kerat. Sebab itulah, siapa yang mengenaliku dan ‘observant’ tentu dapat membezakan antara hujung jari (tirus) mereka yang tak pernah membuat kerja kasar dengan hujung jariku yang begitu selesa bila memegang hulu pisau getah, hulu parang/kapak, batang gergaji, cangkul dan tajak. Ye, hujung jariku sama besar dengan pangkal.
Kerana pendirianku yang enggan menerima tawaran sebagai guru atau bekerja di pejabat, aku selalu dimarahi ibu. Bila selalu dimarahi, rumah jadi macam penjara.
Setelah terbaca iklan pengambilan tentera laut, darat dan udara, aku pergi untuk temuduga secara senyap. Ketibaan waran tiket keretapi ke Johor Baru menimbulkan masalah – ibuku semakin marah.
“Sudah dua minggu waran tiket keretapi ke Johor Baru diterima namun aku masih terpinga-pinga. Air liur hampir kering memujuk ibu memohon restu. Surat tawaran meminta tanda tangan waris atau ketua kampung masih belum terusik. Atas arahan ibu yang juga ibu saudaranya, ketua kampung enggan membantu.
Detiknya semakin hampir, fikiran kian buntu.”
Detik-detik ‘suspens’ itu pernah ku ceritakan dalam ‘Menyusur Denai Ingatan – prolog’
Hari ini genap 47 tahun aku menurunkan cap jari (10) di atas borang perjanjian untuk berkhidmat dalam tentera laut yang pada masa itu lebih dikenali dengan panggilan Royal Malaysian Navy.
Hari ini juga genap 3 tahun aku menyorot dan menukil kehidupan sebagai anggota tentera laut RMN Woodlands.

























